Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksPerutusan

TEKS PERUTUSAN

PEMERINTAH TENTERA DARAT DIRAJA BRUNEI

SEMPENA HARI ULANG TAHUN

TENTERA DARAT DIRAJA BRUNEI YANG KE 54

Pada

Hari Rabu

22 Muharram 1437/04 November 2015​



dan Salam Sejahtera


Alhamdulillahi Rabbil 'Alaamin

Wasalatu Wassalamu 'Ala Asrafil Anbiyaa Iwal Mursalin,

Sayidina Muhammadin, Wa'ala Allihi Wasahbihi Waman Tabi'ahu

Bi'lhsani Ila Yau Middin

Yang Mulia,

Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan

Timbalan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei

Yang Mulia,

Ketua Staf Tentera Darat Diraja Brunei

Yang Mulia,

Pemangku Komandan Khidmat Bantuan Kombat

Tentera Darat Diraja Brunei

Yang Mulia

Pegawai-Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai, Pemangku Sarjan Mejar Tentera Darat Diraja Brunei, Sarjan Mejar Batalion, Seluruh Warga Tentera Darat Diraja Brunei sama ada ahli-ahli kita yang bertugas di luar negara, yang beroperasi serta yang bertugas di Istana Nurul Iman, Qashr' Al-Meezzan, Pulau Baru-Baru, Platun Siap Sedia, Operasi Rondaan, Tugas Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao Republik Filipina, Tugas Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) dan yang berkursus di dalam mahupun di luar negara yang peramba, saya hormati dan kasihi sekalian.

Segala puji dan syukur kita panjatkan kehadrat Allah Subhanau Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan perkenan rahmat Nya kita berpeluang berhimpun dan meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Diraja Brunei ke 54, genap pada hari ini, Rabu, 4 November 2015.

Warga Tentera Darat yang Peramba/Saya Kasihi Sekalian,

            Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih, dan seterusnya melafazkan ikrar ta'at setia yang tidak berbelah bahagi, Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Alhamdullilah, pada pagi yang mulia ini, Peramba/Saya dengan rasa penuh bersyukur, kerana dengan rahmat serta hidayah Allah Subhanahu Wata'ala jua, Tentera Darat Diraja Brunei telah mencapai usia matang yang ke-54 tahun.  Selaras dengan evolusi rancangan perkembangan, Tentera Darat kini telah menjadi sebuah organisasi yang berketerampilan tinggi. Pencapaian-pencapaian yang telah dikecapi dalam jangkamasa dua tahun kebelakangan, adalah hasil implementasi perancangan yang selaras dengan pelan strategik Tentera Darat. Usaha-usaha merealisasikan hasrat ini, telah dilaksanakan dengan tegas, agar Tentera Darat sentiasa menjurus ke arah visi dan misi, dan juga releven dengan hasrat Kertas Putih Pertahanan 2011. Sehingga ke hari ini, semua rancangan perkembangan telah berjalan dengan lancar dan baik.

Warga Tentera Darat yang Peramba/Saya Kasihi Sekalian,

Semasa Hari Ulang Tahun Tentera Darat Diraja Brunei ke-53 yang lalu, kita semua telah sama-sama menyaksikan peningkatan struktur yang merangkumi perkembangan unit-unit Tentera Darat, iaitu penyerapan sub-unit – sub-unit penting ke Khidmat Bantuan Kombat, termasuklah penyerapan Skuadron Semboyan dan Kenderaan Pasukan. Demikian juga dengan ketetapan penubuhan E Kompeni, Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei di Perkhemahan Bangar sebagai nukleus atau perintis awal bagi penubuhan Batalion Keempat nanti Insha'Allah. Dalam pada itu, kita juga telah melihat penetapan Kompeni D di setiap Batalion Infantri sebagai Kompeni Istiadat yang Inshaa'Allah apabila tiba masanya nanti. Kompeni-kompeni ini akan digabungkan menjadi sebuah Batalion Istiadat khusus dalam menjalankan tugas-tugas istiadat. Penubuhan ini adalah penting bagi memastikan Batalion-Batalion Infantri fokus kepada tugas utama. Seiring dengan perkembangan tersebut, Markas Tentera Darat juga telah turut mencapai peningkatan dengan penyerapan jawatan-jawatan baru, khusus pegawai-pegawai kanan, dalam usaha meningkatkan kapisiti dasar serta sebagai sebahagian daripada usaha memantau implementasi perkembangan dan projek-projek Tentera Darat.

Selain dari perkembangan struktur organisasi, penumpuan peningkatan perkembangan lain yang telah diteruskan ialah, penyeliaan projek-projek naik taraf keupayaan Tentera Darat. Alhamdulillah, kesemua projek-projek tersebut telah berjalan dengan baik. Antara lain keupayaan yang telah berjaya di implementasikan ialah, menaik taraf kuasa tembakan taktikal seperti senjata Heavy Machine Gun (HMG) dan Anti-Tank Weapon jenis Recoiless Grenade Weapon (RGW). Selain dari itu, baru-baru ini juga kenderaan jenis Ambulan Medan telah diserapkan ke Khidmat Perubatan. Dalam masa terdekat ini, keupayaan taktikal lain yang akan direalisasikan ialah, perolehan aset kuasa tembakan Lightweight 60mm Mortar, senjata SniperSpecial Operation Vehicle (SOV) dan perolehan Bot Serang Laju yang baru. Sementara dalam tempoh rancangan masa sederhana ialah dengan penggantian platform armour bagi mengganti CVR(T) yang sudah lanjut usianya.

Warga Tentera Darat yang Peramba/Saya kasihi,

Usaha-usaha berterusan untuk meningkatkan keupayaan serta kelengkapan adalah salah satu aspirasi Tentera Darat untuk membentuk warganya, agar dapat mendukung organisasi ini sebagai benteng pertahanan, demi kedaulatan tanah air kita Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, usaha telah diteruskan dalam bentuk meningkatkan semangat berpasukan agar setiap individu sentiasa bangga dengan unit masing-masing, dan secara langsung akan meningkatkan lagi rasa tanggungjawab serta menyumbang kepada usaha kita untuk menjaga nama dan imej unit agar tidak tercemar. Antara lain peningkatan yang dimaksudkan ialah, pembaharuan keseragaman pakaian yang merangkumi pemakaian lambang-lambang unit bagi menaikkan rasa kemegahan terhadap unit masing-masing dan lencana-lencana kepakaran setiap individu. Tambahan dari itu juga, kenderaan-kenderaan tentera akan mula dipasang dengan lambang-lambang pengenalan khusus unit masing-masing. Sudut pembaharuan ini juga telah dilaratkan dengan pembaharuan terhadap bendera Tentera Darat Diraja Brunei dan unit-unitnya. Semua perubahan ini berkuat kuasa pemakaiannya pada hari ini, 4 November 2015. Dengan adanya pembaharuan ini, kita penuh berharap agar semua warga Tentera Darat menyedari betapa pentingnya nilai-nilai setiakawan, nilai-nilai berpasukan, semangat juang, jati diri serta bangga sebagai anggota Tentera Darat demi keutuhan kita selaku tulang belakang pertahanan negara.

Seiring dengan peningkatan struktur organisasi dan keupayaan, Markas Tentera Darat Diraja Brunei telah mengorak langkah lagi dengan menerbitkan sebanyak 15 jenis dokumen PROTAP yang diungkayahkan khusus sebagai panduan serta dasar pentadbiran, latihan, operasi, pemeliharaan dan logistik. Penerbitan PROTAP-PROTAP ini adalah kesinambungan daripada penerbitan sebanyak 18 jenis Doktrin Taktikal yang telah dihasilkan pada tahun 2014 yang lalu. Kepentingan penerbitan PROTAP-PROTAP ini juga adalah bagi keselarasan pentadbiran, latihan dan operasi agar terus releven menuju ke arah visi sebagai sebuah 'Tentera Darat Yang Berkemampuan Tinggi dan Adaptif".

Markas Tentera Darat sekarang sedang dalam usaha menerbitkan buku "Mencorak Tentera Darat ke arah Visi 2035". Buku yang berbentuk dokumen ini akan bertindak sebagai blueprint untuk menterjemaahkan pelan strategik Tentera Darat pada rancangan jangkamasa pendek, sederhana dan panjang serta juga mengambarkan persiapan Tentera Darat ke arah Wawasan NBD 2035 . Secara rumusannya, Tentera Darat Diraja Brunei akan bergerak kehadapan mengikut Fasa iaitu, Fasa Satu – bermula tahun 2015, Fasa Dua – Tahun 2025 dan Fasa Tiga – 2035. Untuk mendokong dokumen ini, sebanyak dua buah dokumen lagi akan diterbitkan, iaitu Pelan Strategik Tentera Darat Diraja Brunei dan Konsep Operasi Darat – Tentera Darat Diraja Brunei (Royal Brunei Land Force - Land Operating Concept). Dokumen-dokumen ini akan menjadi buku panduan utama, terhadap perkembangan Tentera Darat ke arah 2035.

Warga Tentera Darat yang Peramba/Saya kasihi sekalian,

Dalam kesempatan yang baik ini, Peramba/Saya ingin menegaskan bahawa sudut disiplin adalah salah satu tunggak utama yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Tentera Darat. Sejak kebelakangan ini, kes-kes pelanggaran disiplin di luar institusi ketenteraan adalah amat membimbangkan. Sebahagian daripada kes-kes tersebut, ada yang telah melibatkan kemalangan jiwa. Kita semua akur dan menerima hakikat bahawa ajal dan maut adalah Qada dan Qadar yang telah ditentukan oleh Allah Subahanahu Wata'ala. Namun, sebagai sebuah institusi keselamatan dan pertahanan, faktor yang sangat perlu kita semua ambil berat ialah faktor yang penyumbang kepada kejadian tersebut. Sebagai sebuah institusi keselamatan yang dilengkapi dengan prosedur, termaktub dibawah akta Undang-Undang tentera dan juga akta Kesejahteraan dan Keselamatan Kerja, setiap individu adalah bertanggungjawab untuk mentaati kesemua akta-akta ini.

Demikian juga dengan penglibatan dan salah guna media sosial seperti pesanan dan imej negatif yang viral, perbuatan ini boleh saja mengeruhkan lagi imej Tentera Darat secara amnya. Persoalannya sekarang, dimanakah letaknya tanggungjawab setiap individu dalam sama-sama menjaga keselamatan dan imej  institusi ketenteraan? Bukankah tindakan mendedahkan imej keterlaluan yang berlatarbelakangkan Tentera Darat merupakan tindakan yang tidak bermoral dan tidak profesional? Perlu diingatkan bahawa, Tentera Darat adalah sebuah institusi yang tidak boleh diperlekehkan. Perbuatan tidak bermoral, boleh menyumbang kepada persepsi negatif yang boleh sahaja menjatuhkan kredibiliti dan kepercayaan negara dan rakyat kepada kita.

Pada sudut pelanggaran disiplin tentera dan penyalahgunaan dadah, statistik 2 tahun kebelakangan alhamdulillah, telah menunjukan penurunan. Iaitu sebanyak 36 kes disiplin tentera dan 25 kes penyalahgunaan dadah pada tahun 2013/2014, berbanding pada tahun 2014/2015, mencatatkan sebanyak 24 kes disiplin tentera dan 15 kes penyalahgunaan dadah. Meskipun terdapatnya penurunan pelanggaran bagi kedua-dua kes ini, namun ianya masih dikira satu petunjuk negatif kerana sebagai sebuah pasukan yang mementingkan disiplin, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.  Dari itu, saya menyeru semua warga Tentera Darat agar mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan jauhilah penglibatan dengan najis dadah.

Warga Tentera Darat yang Peramba/Saya kasihi dan hormati sekalian,

            Kita semua mestilah menyedari bahawa, perkembangan globalisasi sudah setentunya diiringi dengan perkembangan dan ancaman dalam pelbagai bentuk. Tanah air kita Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dari menghadapi perkembangan dan ancaman ini. Oleh yang demikian, Peramba/Saya menyeru agar semua peringkat sama-sama berganding bahu dan bertekad untuk menanai tanggungjawab serta amanah demi kedaulatan tanah air kita. Tekad ini perlu lahir dari setiap individu, agar keluarga dan anak-anak kita selaku penerus generasi dan negara yang kita cintai ini mencapai hasrat wawasan negara 2035.

            Sehubungan dengan ini juga, para pemimpin yang telah diberi kepercayaan dan amanah untuk memimpin,  hendaklah bergerak pantas dan komited, kerana cabaran-cabaran yang mendatang tidak mengenal sempadan. Oleh itu, Peramba/Saya menyarankan supaya Ciri-Ciri Kepimpinan yang telah digariskan melalui buku "Nilai-Nilai Asas Tentera Darat Diraja Brunei" dijadikan sebagai panduan kerana ianya adalah satu panduan yang amat releven. Sepertimana yang telah Peramba/Saya tekankan sebelum ini, sudut Disiplin, Kebajikan, Sekuriti dan Profesionalisme adalah aspek-aspek utama yang perlu dijadikan sebagai panduan dalam menjalankan kewajipan. Keberkesanan semua peringkat melaksanakan panduan rutin ini, Insha Allah akan sentiasa membawa kita semua dalam garisan yang betul dalam melaksanakan tanggungjawab pada setiap masa. Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar kita sentiasa di dalam perlindungan Nya jua, serta mendapat rahmat dan redha Nya, semoga Tentera Darat Diraja Brunei terdiri dari anggota-anggota yang mempunyai semangat juang yang tinggi, semangat setiakawan, amanah dan kental Iman. Amin, Ya Rabbal 'Alamein.

Sebelum mengakhiri perutusan, Peramba/Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjuang kepada Kontingen Pasukan Penembak Tentera Darat Diraja Brunei ke Kejohanan Menembak ASEAN Armies Skill At Arms Meets (AARM) 2015, yang akan berlangsung di Thailand bermula pada 7 November 2015.  Justeru itu, kepada semua yang terlibat selaku penembak, mahupun jurulatih ataupun Ketua Kontinjen, agar berkerjasama untuk menjaga imej dan nama baik Tentera Darat khasnya dan negara Brunei Darussalam amnya. Usaha menghasilkan keputusan cemerlang semasa perlawanan nanti hendaklah seiring dengan usaha mengekalkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi.

            Akhirnya, Peramba/Saya dengan tulus ikhlas mengucapkan terima kasih kepada semua anggota Tentera Darat, di mana jua mereka berada dan juga kepada semua anggota Tentera Darat yang telah bersara di atas sumbangan terhadap kemajuan Tentera Darat selama ini. Selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Darat Diraja Brunei ke 54.

Sekian, Wabilah-hitaufiq Walhdiayah Wassalamu Alaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.​